Selepas bersalin, kebanyakan ibu akan mengadu badan kelihatan agak 'kembang' terutama di bahagian perut. Paling tak 'best' sebab ada ibu yang masih kelihatan seperti wanita hamil kerana perut masih lagi buncit. Sebenarnya ia disebabkan usus mengandungi angin yang berlebihan.
Angin badan disebabkan oleh gas atau angin yang terdapat dalam sistem penghadaman. Ia berpunca daripada dua sumber iaitu udara yang disedut dan bakteria yang terdapat akibat gangguan daripada makanan yang tidak dihadamkan dengan baik. Keadan ini membuatkan badan ibu terasa sakit dan tidak selesa.
Biarpun ia bersifat sementara kerana setelah semua angin dan cecair dalam badan serta lemak yang terkumpul hilang, badan ibu akan kembali normal ramai yg risau kerana perlu mengambil masa lama untuk memulihkan badan.
Sebab itu orang tua-tua sangat kuat pantang larangnya selepas ibu bersalin. Ini kerana dalam proses pemulihan ini, jika badan tidak dijaga rapi, angin mudah masuk menerusi ruang pada rongga badan yang masih kembang.
Ini beberapa amalan yang perlu dilakukan oleh ibu selepas bersalin untuk mengelakkan badan dimasuki angin
a. Berurut dengan menggunakan minyak kelapa atau tambahan herba lain seperti halba, halia, serai wangi dan banyak lagi untuk memberikan kesan yang lebih baik di samping membuang angin dalam badan.
b. Bertungku juga dapat mengeluarkan angin dalam badan sekaligus mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku.
c. Mesti berdisiplin memakai stoking dan bengkung sepanjang tempoh berpantang supaya badan tidak masuk angin.
d. Mengamalkan minum ramuan air herba bagi tujuan mengeluarkan angin serta membersihkan, menyegarkan dan mengembalikan fungsi rahim. Bagaimanapun kandungan ubat herba yang diminum benar-benar bersih untuk ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu.
e. Menjaga pemakanan sepanjang tempoh berpantang bagi mengelakkan daripada makan makanan yang menyebabkan badan masuk angin. Antara makanan yang boleh menyebabkan angin dalam perut iaitu
* Kebanyakan jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.
* susu, ais krim dan keju.
* Kubis, kubis bunga dan asparagus.
* Sayur berubi seperti sengkuang.
* Buah-buahan seperti nangka, sukun dan pisang.
* Minuman air berkarbonat.
Cara-cara membuat minuman herba buang angin dalam badan.
1. Air rebusan mata kucing bersama halia dan gula merah. Minum setiap hari dalam keadaan suam. Lebih elok jika diminum selepas makan nasi.
2. Rebus halia tua dengan gula merah, kulit kayu manis, jintan manis dan daun pandan. Minum air rebusan ini beberapa kali dalam sehari untuk lebih berkesan.
3. Air rebusan empat atau lima tangkai cili kering (tangkai sahaja), campur bersama dua ulas bawang putih, sedikit halia dan tiga cawan air. Amalkan minuman ini dua kali sehari.
4. Air rebusan daun mengkudu dan halia juga boleh membantu mengeluarkan angin dalam badan.
5. Rebuskan campuran lada hitam, madu dan halia. Biarkan suam dan minum dua kali sehari. Ia juga dapat menghilangkan angin dalam badan.
Dengan penjagaan rapi dan konsisten serta berdisiplin mengamalkan makanan dan minuman membuang angin, masalah badan 'kembang' lepas bersalin dapat diatasi dengan cepat.