Wednesday, 2 November 2016

Hadis Palsu Larangan Mengarut Ketika Berjimak

Jika ada yang berpesan kepada anda supaya jangan melihat kemaluan isteri ketika sedang melakukan hubungan kelamin kerana boleh mengakibatkan buta. 

Image result for suami
Gambar hiasan.

Bahkan petua tersebut dikatakan Rasulullah SAW sendiri yang melarangnya. Maka, apa pendapat anda? Apa yang akan anda lakukan?

Bertenang. Usah gusar. Jangan panik. Sebenarnya apa sahaja petua, galakan atau larangan yang disandarkan kepada agama, maka langkah pertama yang perlu kita lakukan ialah memastikan kesahihan sumbernya. 

Jadi, disiplinkan diri untuk mengenal pasti terlebih dahulu apakah dalil yang menjadi sandaran kepada sesuatu suruhan atau larangan berkaitan agama. 

Walaupun orang yang menyebutnya bergelar ustaz, tuan guru, habib, mufti atau sesiapa sahaja. 

Ini kerana agama ini adalah milik ALLAH SWT yang mempunyai disiplin dan metode tersendiri. 

Tidak boleh mengaitkan sesuatu dengan agama melainkan ia bersandarkan kepada ALLAH dan juga Rasulullah SAW.

Jadi, berbalik kepada larangan melihat kemaluan isteri ketika bersetubuh kerana ia boleh mengakibatkan buta. 

Dari mana larangan sebegini boleh muncul? Sebenarnya ia diambil daripada hadis palsu.

"Apabila salah seorang antara kamu semua sedang berjimak (bersetubuh), maka janganlah dia melihat kepada faraj (kemaluan isteri) kerana perbuatan itu akan mengakibatkan buta, dan janganlah memperbanyakkan bercakap, kerana hal itu akan mengakibatkan bisu."

Ibn Al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam senarai hadis palsu dalam bukunya Al-Maudhuat. (Rujuk: Ibn Al-Jauzi, Al-Maughu'at (Madinah: Maktabah Al-Salafiyah, 1966) 2/272)

Hadis ini dihukum sebagai palsu kerana dalam sanadnya terdapat penyampai hadis bernama Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Qusyairi. 

Menurut Imam Al-Zahabi, Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Qusyairi ini adalah seorang yang tidak dipercayai. 

Imam Al-Azdi dan Al-Daruqutni pula mengatakan beliau adalah seorang pendusta yang perlu ditinggalkan hadis yang disampaikan olehnya.

Melihat kepada maksud hadis ini sendiri kita sudah boleh mengagak ia adalah palsu dan tidak mungkin Rasulullah SAW mengucapkannya. 

Mustahil syariat Islam yang telah menghalalkan hubungan kelamin di antara suami dan isteri, dalam masa yang sama melarang si suami melihat faraj isterinya.

Menurut hadis diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya, daripada Sulaiman Al-Taimi bahawa dia pernah ditanya mengenai apakah hukumnya seseorang itu melihat faraj isterinya? Maka dia pun menjawab, "Aku pernah bertanya soalan ini kepada 'Atha', lalu dia menjawab, "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah, dan 'Aisyah menjawab, "Aku pernah mandi bersama Rasulullah SAW dalam satu bekas, hingga aku mengatakan: Biarkan air itu untukku, biarkan untukku." (Hadis Hasan, no 5577)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani dalam Fath Al-Bari mengatakan, "Hadis ini adalah hujah perihal bolehnya seseorang untuk melihat aurat isterinya, demikian juga sebaliknya". 

Maka, tidak ada bezanya melihat ketika mandi dan ketika berjimak.

Kalaulah perkara ini dilarang, kemungkinan ia akan menjejaskan kenikmatan ketika hubungan suami dan isteri. 

Sedangkan syariat mengizinkan pasangan suami isteri untuk masing-masing merasai nikmat tersebut. 

ALLAH menggambarkan dalam al-Quran bahawa si isteri itu umpama ladang bagi si suami. Jadi, si suami boleh mendatangi isterinya menurut cara yang disukai pada tempat menanam benih. 

Firman-Nya, "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.." (Surah Al-Baqarah: 223)

Kenapa syariat membolehkan perkara ini? Sudah tentu salah satu sebabnya ialah untuk memberikan peluang kepada pasangan suami isteri saling merasai kenikmatan tersebut dengan cara yang halal lagi diredai.

Cumanya, syariat juga menetapkan garis panduan yang memang tidak boleh dilakukan semasa hubungan suami isteri. 

Antaranya ialah, syariat mengharamkan si suami mendatangi isterinya dari bahagian belakang (dubur) isterinya berdasarkan beberapa hadis yang diterima.

Antaranya ialah hadis berikut, "Apabila golongan Muhajirin datang ke perkampungan kaum Ansar, mereka pun menikahi wanita Ansar. Golongan muhajirin biasa menelungkupkan isterinya ketika bersetubuh, sedangkan kaum Ansar tidak biasa melakukannya. Suatu ketika ada seorang lelaki Muhajirin hendak menyetubuhi isterinya daripada kaum Ansar dengan cara seperti itu (melalui dubur), tetapi si isteri menolak sebelum ada kejelasan hukumnya daripada Rasulullah SAW. Lalu dia pun berjumpa Rasulullah SAW. Tetapi dia berasa malu untuk bertanya terus kepada Rasulullah SAW. Maka dia bertanya kepada Ummu Salamah (isteri Nabi SAW) supaya ditanya kepada Baginda SAW. Lalu, turunlah ayat 223 daripada Surah Al-Baqarah.

Rasulullah SAW lalu menjawab, "Tidak boleh (melalui dubur) melainkan pada satu jalan sahaja (faraj)." (Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi dan beliau menyatakan ia sahih)

Berkenaan larangan memperbanyakkan bercakap ketika bersetubuh suami isteri seperti yang disebutkan dalam hadis palsu ini, memang ia suatu tindakan yang tidak sesuai. 

Banyak bercakap dan berbincang perkara-perkara lain ketika melakukan hubungan intim memang tidak munasabah, sedangkan perkara tersebut boleh dibualkan pada masa lain. 

Tetapi, jika si suami atau isteri mengungkapkan sesuatu yang manis dan indah yang boleh meningkatkan perasaan kasih sayang ketika itu, maka ia tidak menjadi kesalahan.

Justeru, kepada pasangan suami isteri, syariat telah mengikat hubungan anda dengan cara yang halal dan sah. 

Isteri adalah hadiah buat suami. Suami adalah anugerah buat isteri. Raikannya dengan kegembiraan dan kesyukuran. 

Nikmati ia dengan cara yang halal. Pelihara, pagari, sirami dan bajai ladang masing-masing agar ia terus subur dan mekar. 

Percayalah, kenikmatan dan keseronokan yang dirasai oleh suami isteri sedikit pun tidak akan disia-siakan di sisi Tuhan kerana pada hubungan intim juga adalah ladang menuai pahala.

ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM


Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2016/10/hadis-palsu-larangan-mengarut-ketika.html#ixzz4OuRcgoFt 
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook
This entry was posted in