Sunday, 13 November 2016

Bekas pemain bola sepak Terengganu maut kemalangan


NAHAS membabitkan bekas pemain bola sepak Terengganu, Alfian Aziz, yang maut di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba



GERIK: Bekas pemain bola sepak Terengganu, Alfian Aziz, maut manakala isteri dan dua anaknya cedera dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di sini petang tadi.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, Alfian, 36, bersama keluarganya menaiki Perodua Alza dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah menuju Terengganu sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Jurucakap Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak berkata, siasatan awal mempercayai kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

"Perlanggaran itu menyebabkan besi penghadang jalan itu menembusi cermin hadapan kenderaan.

"Ia mengakibatkan pemandu kenderaan itu yang bekerja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, penumpang hadapan Zanariah Ramli @ Danial Malan, 27, suri rumah cedera di muka, manakala dua anak mereka Arysha Zahra, 3, cedera peha kiri dan patah tulang pinggul serta disyaki berlaku pendarahan dalam kepala manakala Aqeef Zafran, setahun hanya calar di dahi.

"Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di Hospital Gerik manakala ahli keluarganya yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

"Bedah siasat dijalankan jam 7 malam tadi dan punca kematian ialah kecederaan parah di kepala," katanya.