Wednesday, 26 October 2016

Pulau Anak Patung Yang Menyeramkan Di Mexico


Xochimilco sebuah daerah di Mexico City, Mexico yang terkenal dengan banyak bangunan bersejarah dan terusan menghubungkan beberapa penempatan menarik.

Pada 1987, Xochimilco diisytiharkan Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia ke daerah itu. Namun, keterujaan pelancong mungkin bertukar menjadi perasaan seram sekiranya mereka melawat sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Anak Patung.

Pulau terpencil yang terletak di satu kawasan berpaya ini dianggap berhantu dan dipenuhi ratusan anak patung yang menyeramkan. Untuk sampai ke pulau ini, pengunjung perlu menaiki perahu dari Mexico City selama dua jam melalui terusan yang berliku.


Sebaik sahaja kaki menjejak ke pulau ini, pengunjung disambut dengan ratusan anak patung yang usang dan suasana yang menakutkan. Hampir seluruh pulau kecil mempunyai anak patung digantung di pokok dan wayar berkarat. Keadaan anak patung yang usang akibat terlalu lama terdedah dengan cuaca dan menjadi sarang labah-labah serta serangga cukup menggerunkan.

Walaupun pulau ini bukan destinasi pelancongan popular di Mexico City, ia tetap dikunjungi ribuan jurugambar dan pengunjung yang mahukan kelainan pada setiap tahun. Jurugambar, Cindy Vasko yang melawat pulau itu baru-baru ini menggambarkan ia sebagai tempat paling menakutkan yang pernah dilawatinya.


“Perjalanan ke pulau ini, saya dihiburkan dengan pemandangan hutan yang menarik dan haiwan liar seperti burung berkicauan.

“Bagaimanapun, apabila sampai ke pulau itu, suasana berubah sekelip mata dan tiba-tiba perasaan seram terus menyelubungi diri saya,” katanya.

Ujarnya, melihat puluhan anak patung yang tergantung di pokok dan wayar cukup mengganggunya.

“Anak patung ini bukan sahaja tergantung di pokok, tetapi di tanah, di tepi bangunan dan pagar.

“Selama berpuluh-puluh tahun anak patung itu dibiarkan terdedah menyebabkan ia mula mereput.

“Ada anak patung dilitupi sarang labah-labah, ada yang kehilangan anggota badan serta ada hanya kepala yang tergantung,” jelasnya.

Penduduk di daerah itu percaya pulau itu berhantu selepas seorang budak perempuan mati di lokasi berkenaan kira-kira 50 tahun lalu. Mayat kanak-kanak itu dijumpai seorang lelaki, Julian Santana Barrera yang tinggal seorang diri di pulau berkenaan.


Barrera mendakwa mayat budak itu dijumpai hanyut di terusan bersama anak patungnya. Sejak itu, Barrera diganggu dengan jeritan dan bayangan kanak-kanak berkenaan yang berjalan di hutan.

Kerana tidak tahan dengan gangguan itu, Barrera menggantung anak patung milik mangsa di pokok sebagai menghormatinya. Barrera kemudian menggantung ratusan anak patung lagi untuk mententeramkan roh kanak-kanak berkenaan.

Lelaki itu terus tinggal seorang diri di pulau terpencil berkenaan sehingga dia dijumpai mati secara misteri pada 2011.

Mayat Barrera dijumpai terapung di terusan yang sama dia menemui mayat budak perempuan itu. Sehingga kini, penduduk dan pengunjung yang melawat pulau itu mendakwa masih mendengar suara orang menjerit.

Sehingga kini, penduduk dan pengunjung yang melawat pulau itu mendakwa masih mendengar suara orang menjerit dan kadangkala anak patung seperti berbisik serta merenung ke arah mereka.

Ramai pengunjung juga membawa anak patung ­untuk diletakkan di pulau berkenaan sebagai penghormatan kepada roh di lokasi itu.