Tuesday, 11 October 2016

Bahang Pokémon Go masih terasa

Pokemon Go
SINGAPURA - Kegilaan bermain Pokémon Go mungkin sudah menurun sedikit tetapi bahang kesan permainan ini masih terasa di seluruh dunia.
Sehinggakan ada juga mereka yang meskipun tidak berminat dengan permainan ini turut ingin tahu mengenai Pokemon, watak rekaan yang menjadi buruan pemain yang menggunakan aplikasi telefon pintar.
Diperkenalkan pada Julai 2016 oleh Niantic Inc, permainan ini menjadi ikutan ramai, malahan ada yang memuat turun permainan ini sebelum pelancaran rasminya lagi.
YouGov, firma penyelidikan pasaran global, membuat tinjauan ke atas 10,808 pelanggan dalam talian di seluruh Asia Pasifik (APAC) untuk menyelidiki populariti permainan ini.
Menurut hasil tinjauan, majoriti responden APAC pernah mendengar tentang Pokémon Go dan mendapati konsep permainan ini amat menarik.
Permainan ini menjadikan watak Pokemon menjadi lebih popular.
Sebanyak 88 peratus responden di seluruh rantau ini pernah mendengar tentang Pokémon Go dengan tahap kesedaran tertinggi di Hong Kong (97 peratus) dan Indonesia (97 peratus sementara yang paling rendah di China (57 peratus).
Kurang daripada dua dalam lima responden (37 percent) adalah peminat Pokémon sebelum pelancaran permainan ini dan sekarang tujuh daripada 10 responden (69 percent) dalam APAC tahu ada Pokemon.
Pelancaran lewat tarik lebih banyak minat
Separuh daripada responden APAC cuba memuat turun permainan ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
Di negara-negara APAC kecuali Australia, di mana permainan ini dilancarkan lebih awal, hampir separuh responden (49 peratus) cuba memuat turun permainan ini sebelum pelancaran rasmi permainan ini di negara masing-masing.
Secara purata, satu pertiga pemain Pokémon Go menghabiskan masa antara 30 minit sehingga sejam sehari bermain permainan ini.
Melihat kepada kesan Pokémon Go ke atas tingkah laku sosial serta kehidupan harian pemain, 56 peratus daripada mereka yang memuat turun permainan ini meletakkan ikon aplikasinya atas skrin pertama telefon pintar mereka.
Lebih separuh daripada mereka (52 peratus) telah bermain sekali hingga tiga kali permainan ini sejak tempoh 24 jam lalu, dan sekitar satu pertiga responden (33 peratus) menghabiskan 30 minit sehingga sejam sehari bermain permainan ini.
Pokémon Go menggalakkan kegunaan lain media sosial?
Kira-kira 44 peratus pemain berkata bermain Pokémon Go membuatkan mereka kerap menggunakan media sosial yang lain kerana mahu berkongsi perkembangan permainan mereka dengan pemain lain dalam talian.
Hampir separuh pemain (48 peratus) berkata mereka tetap akan menghabiskan masa yang sama bermain permainan itu meskipun apabila sudah memahami dengan lebih baik cara bermainnya.
Bagaimanapun, 7.0 peratus responden telah berhenti langsung bermain permainan ini.
Dalam kumpulan ini, seorang daripada tiga (36 peratus) berpendapat permainan itu terlalu mengambil masa yang banyak dan mereka tidak mempunyai cukup masa untuk itu.
Kira-kira separuh daripada jumlah itu (18 peratus) berpendapat permainan itu tidak menarik langsung dan 8.0 peratus pula berkata mereka tidak tahu bagaimana cara bermain Pokemon Go.
Apa yang menarik tentang permainan ini?
Kombinasi dunia sebenar dan alam maya adalah sebab utama mengapa Pokémon Go menjadi kegilaan.
Hampir 80 peratus responden mendapati kombinasi dunia sebenar dan alam maya menjadikan mereka seronok bermain Pokémon Go.
Separuh daripada responden (50 peratus) berpendapat permainan itu menarik kerana bukan sahaja ia menyeronokkan tetapi mereka juga akan menghabiskan masa di luar bangunan.
Kira-kira satu pertiga daripada responden (34 peratus) suka dengan permainan ini kerana ia membolehkan mereka bersosialisasi dengan yang lain menerusi internet.
Tinjauan itu juga mendapati 28 peratus daripada responden berkata mereka memang meminati Pokémon dan permainan ini menjadikan mereka bertambah suka dengan watak itu.
Sementara itu, dalam kalangan 31 peratus responden yang berkata permainan itu tidak menarik, hampir separuh (47 peratus) berkata mereka tidak faham mengapa permainan itu menjadi kegilaan sesetengah orang.
Lebih seorang dalam lima respondedn (22 peratus) responden berkata mereka bimbang dengan aspek keselamatan dan kebersendirian memandangkan permainan itu menggunakan kamera serta fungsi lokasi geografi.
YouGov, agensi berkecuali adalah salah sebuah nama firma penyelidik terkenal di United Kingdom, Eropah dan Amerika Utara.
Agensi ini juga sedang mengembangkan operasinya di seluruh Asia Pasifik. – Bernama
This entry was posted in