Sunday, 8 January 2017

Tak cikgu, ayah saya dah meninggal dunia...


Image result for ayah dan anak perempuannya

Pagi ini, aku teringat suatu kejadian yang berlaku di hari pertama persekolahan. Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas. 

Hari pertama, sekolah penuh sesak dengan ibu bapa murid tahun 1. Waktu rehat pun masih begitu. Ramai ibu bapa menemani anak masing-masing, ajar mereka membeli, menyuapkan anak mereka makan. Mereka kelihatan mesra dan amat bahagia sekali. 

Masa ini, aku boleh dikatakan mentah dalam dunia pendidikan. Baru 5-6 tahun pengalaman bersama murid tahun 1. Dan masa ini, aku masih belum ada keberanian untuk menegur ibu bapa yang mengambil hak murid sewaktu rehat. Ibu bapa yang menggunakan bangku murid, sedangkan ramai lagi murid berdiri mencari tempat untuk duduk dan makan. 

Semasa aku ralit memerhatikan perlakuan ibu bapa yang bahagia melayan anak mereka, aku perasan ada seorang murid perempuan berdiri di tepi tiang. Tangannya memegang bekal makanan dan sebotol air minuman. Termangu-mangu murid itu sendirian tanpa tahu hendak duduk dan makan bekalannya. 

Aku mula memandang jelek perlakuan ibu bapa yang langsung tidak mempedulikan kehadiran murid tahun 1 yang keliru itu. Malah, tiada di antara mereka yang mempelawa murid itu untuk duduk dan makan. Sebaliknya mengambil hak murid itu untuk berada di bangku sambil membelai anak masing-masing. 

Nak ditegur, aku sendiri belum ada keberanian. Maka aku mendekati murid itu dengan beberapa persoalan. 

"Kenapa murid ini tidak berteman? Mana ibu bapa dia? Apa punya ibu bapa yang tidak menemani anak tahun 1 di hari pertama mereka?" 

Sedikit rasa kesal terhadap tiadanya sikap prihatin ibu bapa murid itu terlintas di hati. Tanpa banyak soal, aku pimpin murid itu mencari tempat kosong. Semasa memimpin tangannya, aku sempat bertanya. 

"Mak ayah awak tak datang temankan awak ke hari ini?" 

"Tak cikgu, ayah saya dah meninggal dunia," jawabnya. 

"Oh. Mak awak? Kerja?" soalku lagi. 

"Mak saya di hospital, masuk wad. Dia sakit," jawabnya dengan nada sayu dan riak wajahnya seakan-akan mahu menangis. 


Rasa bersalah terus melanda hati aku kerana bertanyakan soalan itu. Rupa-rupanya murid ini tinggal bersama ibu saudaranya. Kakaknya ada tetapi belajar sesi pagi, sedangkan murid tahun 1 di sesi petang. 

Rasa meluap kemarahan pada ibu bapa lain yang tak cakna dan pentingkan diri sehingga mengambil hak anak yatim ini. Baru sahaja murid ini duduk, loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Guru tahun 1 yang bertugas memanggil murid untuk berkumpul dan masuk kelas. Murid ini gelisah melihat kawan-kawan dia mula beredar meninggalkan kantin, sedangkan dia masih belum sempat menjamah waima sebutir nasi. 

Terus aku kata padanya. 

"Jangan risau, awak duduk dan makan dahulu bekal makanan awak. Cikgu tunggu awak."

Maka, murid ini makan dengan ditemani aku. Seusai makan, aku menghantar dia ke dewan tempat murid lain berkumpul. 

Esoknya, aku pergi lagi ke kantin, melilau mata mencari murid ini. Entah kenapa muka murid tahun 1 nampak semuanya sama di mata aku. Aku gagal mengesan murid itu. Aku mencari di setiap tiang, tiada kelibatnya. Agaknya dia sudah pandai mencari tempat duduknya sendiri dan berdikari. 

Hari seterusnya pun aku masih mengelilingi tiang dan cuba mengecam setiap wajah murid perempuan yang makan keseorangan. Tetapi gagal. 

Sejak itu, keberanian datang pada aku. Setiap tahun, akulah yang akan 'menghalau' ibu bapa yang duduk di bangku murid. Guru lain masih segan dan tidak berani nak 'menghalau' mereka. Pernah mereka minta dengan lemah lembut tetapi tidak ramai yang ambil perhatian. 

Ibu bapa yang pentingkan diri dan mengambil hak murid ini tidak aku malu pada mereka. Tidak lagi aku mahu menjaga hati mereka. Dengan tegas aku meminta mereka bangun memberi ruang kepada murid untuk duduk sehingga ada ibu bapa yang pernah terasa dengan ketegasan aku dan menyindir di belakang. 

Aku tidak kisah dengan sindiran itu kerana mereka yang mengambil hak murid aku tidak lagi tersenarai di dalam senarai orang yang aku perlu hormati lagi. 

Biarlah apa orang nak kata kerana mungkin ada murid yang berdiri tanpa ditemani sesiapa punya kisah yang serupa dengan murid perempuan itu. Anak yatim yang aku tidak pernah tahu namanya dan tidak sempat cam mukanya. Semoga anak itu kini menjadi murid yang pandai dan berjasa. Amin.